Tuesday, September 29, 2009

TANDUS & PUPUS

Sorong papan tarik papan,
BUAH KERANJI dalam perahu,
Suruh makan dia makan,
Suruh mengaji dia tak mahu.

Jangan kita terkejut bilamana mendapat tahu bahawa dalam masyarakat One Malaysia ni masih ada orang Melayu yang tidak pernah seumur hidupnya melihat pokok padi secara "live", jauh sekali untuk mengenali secara dekat apa itu buah keranji, buah mertajam, buah keriang, keriang dot, buah nanam (buah katak puru), buah melaka, buah kelubi, buah 'ceri' dan entah apa-apa lagi buah-buahan tempatan yang satu ketika dulu menjadi "pemanis maupun pemasam mulut" kanak-kanak maupun remaja kampung.

Selain dari itu, terdapat juga buah-buahan yang tak dimakan seperti buah ibus, buah cenerai, labu kayu, buah letup dan berbagai-bagai lagi yang Deri sendiri sudah lupa akan kewujudannya. Deri sendiri dah tak ingat bagaimana rupabentuk sesetengah buah-buahan kecil & besar yang dahulunya bersepah-sepah kat tepi-tepi jalan, tepi-tepi sungai serta di tepian bendang kampung laman Deri, Kampung Padang Pauh, Perlis.

Namun, kelibat kebanyakkan pokok-pokok buah-buahan ini dah tidak kelihatan lagi di kampung Deri maupun di kampung-kampung berhampiran seperti Kampung Behor Inai & Kampung Masjid. Deri rasa kalau menyusur di tepi sungai Korok sehingga ke Kampung Paya & Abi pun susah untuk kita temui spesis-spesis yang pernah tumbuh bercambah satu ketika dahulu.

Terdapat banyak pokok-pokok buah-buahan, buah-buah sayuran, ulam-ulaman, herba dan pelbagai jenis pokok-pokok & kayu kayan yang sudah memasuki era ketandusan dan kepupusan. Begitulah juga dengan benda-benda & perkara-perkara lain yang sudah hampir pupus ditelan zaman serta dimamah teknologi terkini.

Di era digital One Malaysia di alam siber ini Deri rasa amat bermanfaat sekali kalau segala-gala yang hampir pupus ini diarkibkan buat tatapan pengunjung blog, lebih afzal sekali untuk kepuasan koleksi peribadi. Deri akan uploadkan sedikit demi sedikit bahan-bahan koleksi ini mengikut kemampuan masa yang amat terhad sekali.

LABU KAYU
Teramat susah nak jumpa pokok buah ni. Gambar ini Deri snap kat Kuantan.

Dari penceritaan....
Kaum tionghua menggunakan buah ini untuk sembahyang. Ada juga yang merebus isinya yang berserat (fibrous) untuk dijadikan ubat. Katanya untuk mencuci paru-paru.... mungkin baik untuk perokok kut... hehe...

Orang Melayu pula menjadikannya tempat mengisi air minuman, seperti labu sayong. Setelah isinya dibuang, tempurungnya dikeringkan. Air yang disimpan di dalamnya amat menyegarkan.

Hanya Allah yang mengetahui...

Tuesday, August 25, 2009

LAWATAN SOSIAL


Liga Inggeris dah seminggu start...
Puasa pun dah masuk hari ke 4...
Cuti sekolah pun dah bermula....
H1N1 pun dah mula kurang katanya...
Tapi... kerja aku masih bertimbun-timbun....

Bila la agaknya aku nak dapat luangkan masa untuk cuci sawang kat rumah aku ni...???
Dah nak masuk 4 bulan berabuk.... Kira parah jugak lerr tu...
Hello Boss!!!
Bole kasi kurang kerja ka?
Tapi gaji & bonus mau sikit libih juga...
Ada bole ka itu macam...??

Monday, May 11, 2009

PPSMI


Lalu, aku sayu dan aku pilu;
lalu, aku ragu dan aku malu …

Buah ranum pada tangkai;
bahasa gugur dari hati,sekali janji, sekali nafi;
sekali pancang, sekali pincang,
iktibar apakah semua ini?

Lalu pemimpin angkuh berkata …

Aku apa peduli
Kalaupun Shakespear turun ke bumi!

Lalu Sasterawan Negara bersumpah lagi …

Jangan berikan undi,
pada mereka yang menghina bahasa sendiri.

Jangan diundi pemimpin yang …
bertelinga satu, berlidah dua.

(Datuk Dr. A. Samad Said - Sasterawan Negara)

Thursday, April 23, 2009

DARI KL KE PADANG PAUH

Kata pepatah, sejauh mana seluang melaut, akhirnya pulang ke pantai jua... Tepat sekali dengan diri Deri. Tapi, bukanlah melautnya Deri kerana merantau membawa diri, cuma melanjutkan pelajaran & berkerja. Walaupun di mana Deri berada, namun di hati ini tetap menyimpan segala nostalgia hidup di kampung halaman, di tanah tumpah darah tercinta. Kampung halaman Deri, Kampung Padang Pauh, Perlis, sentiasa di hati. Di sinilah Deri dilahirkan, dibesarkan oleh ayahanda bonda tercinta & di sinilah Deri merentasi zaman kanak-kanak yang penuh dengan keriangan.

Sekali sekala Deri akan pulang ke kampung untuk bertemu dengan ayahanda & bonda. Walaupun tidak sekerap mana, Deri tidak pernah lupa & insyaAllah tidak akan lupa sehingga ke akhir hayat. Sememangnya Deri dibuai dengan ulit lenggok kerja-kerja di pejabat yang berlapis-lapis silih berganti hadirnya, sehinggakan terbawa-bawa sehingga ke rumah, tapi tiba masanya Deri akan mengatur juga jadual untuk pulang ke kampung. Tugas sebagai 'anak' tak mungkin Deri abaikan. Begitu juga dengan janji Deri dengan Allah sebagai seorang 'suami & ayah'. Semuanya perlu diseimbangkan dengan teliti dan penuh kejujuran.

Bila berada di kampung, Deri terasa seperti ada satu suntikan semangat baru meresap ke dalam setiap urat & sendi tubuh ini. Rasanya dos untuk mengekalkan ketenangan fikiran dan kedamaian hati sememangnya ada di sini. Adakalanya Deri terasa seperti tidak mahu pulang berkerja di KL yang hingar bingar & penuh dengan segala kekusutan, kekalutan dan ketidakstabilan emosi.

Tapi, kehidupan ini perlu diharungi walau di mana sahaja Deri berada. Cabaran perlu ditempuhi. Untuk menjadi insan yang berjaya Deri perlu ada ketabahan & kecekalan hati dan perlu juga disaluti dengan keimanan dan kasih kepada Pencipta Yang Maha Agong, dan juga kepada kedua ibu bapa Deri.

Deri lapangkan hati untuk bertafakkur, bermuhasabah diri dan memohon keampunan dari Allah s.w.t kiranya hati kedua insan mulia itu pernah Deri lukai, sama ada sengaja atau tanpa di sedari. Semoga Deri tidak terkial-kial di akhirat kelak untuk mencari arah cahaya menuju ke syurga.....

Kampung halaman Deri dibesarkan
Mempelam "bemban" yang berusia lebih dari 100 tahun ini masih lagi berupaya berbuah lebat setiap musim.
Di sinilah tersimpannya segala kenangan di zaman kanak-kanak

Thursday, April 16, 2009

NASI PELENGAT PERLIS

Pada 27 & 28 Mac lepas Deri balik kampung di utara semenanjung. Tujuan utamanya ada 3 ; nak ziarah emak saudara yang sakit, nak buat kenduri syukur Nazurah dapat good result SPM & nak hadiah kereta proton saga baru yang kami adik beradik kongsi beli kat parents. Alhamdulillah, semua tujuan berjalan lancar...

Masa kenduri, Deri ambil gambar cara-cara orang Perlis masak nasi. Caranya agak berlainan sikit, tak guna kawah.

Kami panggil alat memasak ni PELENGAT. Cara masaknya lebihkurang cara nasi kukus, tapi guna talam, selalunya 10 tingkat. Memasak cara ni tak ada kerak nasi langsung. Jadi, kalau ada yang suka makan kerak nasi dengan santan, maka cara ni tak sesuai buat dia...

Ok, jom kita layan....!!!

(A) Perkakas memasak :
1. Kawah yang dimasukkan air paip atau air perigi (jangan guna air mineral...rugi duit...)
2. Pelengat 10 tingkat berbentuk 3-segi yang dibuat dari aluminium sebagai rak untuk meletakkan talam
3. Talam yang keras sikit, selalunya yang jenis berbunga-bunga dari Cina tu. (Kalau lembut sangat, nanti dia akan cepat terpele'ot... haha... cari sendiri maksudnya...)
4. Penutup pelengat yang diperbuat dari zinc atau metal yang tahan panas.
5. Pelapik kawah dari bahan yang tak terbakar.
6. Kayu api atau apa-apa bahan pembakaran yang tak merbahaya... (warning : jangan guna bunga api... )
7. Pelepah pisang, untuk meratakan beras kat dalam talam. Bahan keras seperti kayu patut dihindarkan. Nanti talam terpelanting... rugi beras...
8. Daun pandan sebagai bahan pewangi
9. Kain basah.... tengok gambar nanti tahu lah fungsinya...

(B) Cara memasak :
1. Ok, untuk memasak nasi sebanyak 10 talam ni, kita perlukan 20 kilo beras. Ini bermakna satu talam diisikan dengan 2 kilo beras.
2. Masukkan air suci lagi bersih sehingga lebih sedikit dari paras beras. (macam masak nasi dalam periuk gitu...)
3. Kalau banyak ni punya nasi, bolehlah disediakan untuk lebihkurang 250 orang yang bernafsu makan secara normal...
4. Sementara tu panaskan kawah yang dah diisi air tadi. Jangan lupa campakkan daun pandan ke dalamnya.
5. Setelah siap 10 talam diatas rak masing-masing dan air pun dah panas, maka tutupkan pelengat tadi.
6. Dalam masa lebihkurang 45 minit, angkat semula tutup pelengat. (Warning: Tutup pelengat sangat la panas... pandai-pandai sendiri lah...)
7. Nasi dah masak... putih berseri-seri...!!
8. Masukkan nasi kedalam bekas kedap udara. Bila tiba masanya, sajikanlah....
9. Untuk ulangmasak lagi 10 talam, cuma perlu tunggu selama 30 minit sahaja sebab tutup pelengat sudah panas... jadi cepatlah masak nasinya.



Dah siap untuk dimasak. Beras sedang diratakan dengan pelepah pisang. Daun pandan diikat & dimasukkan ke dalam kawah.










Ready untuk ditutup. Tengok senang, tapi ia memerlukan kepakaran tahap PHD. Kena kuat fizikal & mental, tahan panas & asap. Silap haribulan, terbalik kesemua sekali. Kalau pekerja amatur, tali akan digunapakai, diikat pada atas penutup pelengat dan digantungkan ke dahan pokok. Lepas tu diturunkan perlahan-lahan. Bila nasi dah masak, ditarik keatas perlahan-lahan juga. Jangan buat dengan gelojoh & rakus!!
Bila penutup dah stable, kain basah diletak sekeliling pelengat dan dipadatkan menggunakan pelepah pisang. Ini dilakukan supaya wap tidak keluar dan air mendidih tidak akan memantulkan kain tadi.
Api perlu dijaga supaya tidak terlalu ganas!!
Bila dah siap, penutup ditarik keluar.
Tengoklah betapa putih berseri-serinya nasi pelengat...
Yang menariknya masak cara begini, nasi yang berlebihan tidak disentuh langsung... masih suci murni...!!
Nasi dimasukkan kedalam bekas kedap udara.
Disajikan pada tetamu dengan lauk pauk & ulam-ulaman... Yummy yummy....
Lepas makan, sila basuh tangan kat sini.... Tengoklah betapa kreatifnya orang kampung ku... Paip akan disambung dan dialirkan kelongkang. Respect....respect...!!
Sekian saja... moga bermanfa'at untuk semua.

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez