Thursday, April 16, 2009

NASI PELENGAT PERLIS

Pada 27 & 28 Mac lepas Deri balik kampung di utara semenanjung. Tujuan utamanya ada 3 ; nak ziarah emak saudara yang sakit, nak buat kenduri syukur Nazurah dapat good result SPM & nak hadiah kereta proton saga baru yang kami adik beradik kongsi beli kat parents. Alhamdulillah, semua tujuan berjalan lancar...

Masa kenduri, Deri ambil gambar cara-cara orang Perlis masak nasi. Caranya agak berlainan sikit, tak guna kawah.

Kami panggil alat memasak ni PELENGAT. Cara masaknya lebihkurang cara nasi kukus, tapi guna talam, selalunya 10 tingkat. Memasak cara ni tak ada kerak nasi langsung. Jadi, kalau ada yang suka makan kerak nasi dengan santan, maka cara ni tak sesuai buat dia...

Ok, jom kita layan....!!!

(A) Perkakas memasak :
1. Kawah yang dimasukkan air paip atau air perigi (jangan guna air mineral...rugi duit...)
2. Pelengat 10 tingkat berbentuk 3-segi yang dibuat dari aluminium sebagai rak untuk meletakkan talam
3. Talam yang keras sikit, selalunya yang jenis berbunga-bunga dari Cina tu. (Kalau lembut sangat, nanti dia akan cepat terpele'ot... haha... cari sendiri maksudnya...)
4. Penutup pelengat yang diperbuat dari zinc atau metal yang tahan panas.
5. Pelapik kawah dari bahan yang tak terbakar.
6. Kayu api atau apa-apa bahan pembakaran yang tak merbahaya... (warning : jangan guna bunga api... )
7. Pelepah pisang, untuk meratakan beras kat dalam talam. Bahan keras seperti kayu patut dihindarkan. Nanti talam terpelanting... rugi beras...
8. Daun pandan sebagai bahan pewangi
9. Kain basah.... tengok gambar nanti tahu lah fungsinya...

(B) Cara memasak :
1. Ok, untuk memasak nasi sebanyak 10 talam ni, kita perlukan 20 kilo beras. Ini bermakna satu talam diisikan dengan 2 kilo beras.
2. Masukkan air suci lagi bersih sehingga lebih sedikit dari paras beras. (macam masak nasi dalam periuk gitu...)
3. Kalau banyak ni punya nasi, bolehlah disediakan untuk lebihkurang 250 orang yang bernafsu makan secara normal...
4. Sementara tu panaskan kawah yang dah diisi air tadi. Jangan lupa campakkan daun pandan ke dalamnya.
5. Setelah siap 10 talam diatas rak masing-masing dan air pun dah panas, maka tutupkan pelengat tadi.
6. Dalam masa lebihkurang 45 minit, angkat semula tutup pelengat. (Warning: Tutup pelengat sangat la panas... pandai-pandai sendiri lah...)
7. Nasi dah masak... putih berseri-seri...!!
8. Masukkan nasi kedalam bekas kedap udara. Bila tiba masanya, sajikanlah....
9. Untuk ulangmasak lagi 10 talam, cuma perlu tunggu selama 30 minit sahaja sebab tutup pelengat sudah panas... jadi cepatlah masak nasinya.



Dah siap untuk dimasak. Beras sedang diratakan dengan pelepah pisang. Daun pandan diikat & dimasukkan ke dalam kawah.










Ready untuk ditutup. Tengok senang, tapi ia memerlukan kepakaran tahap PHD. Kena kuat fizikal & mental, tahan panas & asap. Silap haribulan, terbalik kesemua sekali. Kalau pekerja amatur, tali akan digunapakai, diikat pada atas penutup pelengat dan digantungkan ke dahan pokok. Lepas tu diturunkan perlahan-lahan. Bila nasi dah masak, ditarik keatas perlahan-lahan juga. Jangan buat dengan gelojoh & rakus!!
Bila penutup dah stable, kain basah diletak sekeliling pelengat dan dipadatkan menggunakan pelepah pisang. Ini dilakukan supaya wap tidak keluar dan air mendidih tidak akan memantulkan kain tadi.
Api perlu dijaga supaya tidak terlalu ganas!!
Bila dah siap, penutup ditarik keluar.
Tengoklah betapa putih berseri-serinya nasi pelengat...
Yang menariknya masak cara begini, nasi yang berlebihan tidak disentuh langsung... masih suci murni...!!
Nasi dimasukkan kedalam bekas kedap udara.
Disajikan pada tetamu dengan lauk pauk & ulam-ulaman... Yummy yummy....
Lepas makan, sila basuh tangan kat sini.... Tengoklah betapa kreatifnya orang kampung ku... Paip akan disambung dan dialirkan kelongkang. Respect....respect...!!
Sekian saja... moga bermanfa'at untuk semua.

Wednesday, April 08, 2009

ORANG-ORANG BUKIT


HARI INI AKU GEMBIRA.
Sempat datang mencuci rumah yang bersawang
dan laman yang dah tumbuh lalang.
***************************************************************


Petang semalam,
tika langit lazuardi sudah sirna.
Minda ini berpusar,
berkunjung jauh
ke Bukit-bukit di utara.
Bertanya dan menduga....
di sebalik helah
dan di celah-celah jeriji upaya dan alpa...
Orang-orang bukit menangkis Sang Bengkarung,
yang tiba-tiba,
entah dari pelusuk mana
merayap membikin semak di bukit!!

Memang.
Petang semalam,
minda ini berharap,
langit lazuardi,
kan muncul kembali..

Pagi ini,
tika fajar sidik menyingsing.
Aku senyum gembira.
Minda ini percaya;
Orang-orang Bukit sedang berpesta.
Bengkarung sudah tiada,
dinyah sepi dan bisu.

Umpama
Sang Sabung sombong
yang merintih bersama
taji tumpul yang sudah tiada!!



Benarlah ungkapan kalimat tua,
Langit berkelikir bumi bertemberang,
salah-salah fikir, jadi hamba orang.


LU FIKIR LA SENDIRI....!!
He he....

Wednesday, February 04, 2009

SINGGAH DI PERMATANG.

Dah hampir satu bulan aku tak buat N3.
Dah dekat 2 minggu aku tidak melawat blog sendiri.

Beginilah kehidupan di awal tahun.
Ibarat musim membajak sawah di kampung.
Kalau malas turun membanting,
alamat tiadalah padi untuk dituai nanti.
Tiadalah beras untuk ditanak,
walau secupak.
Tiadalah nasi untuk dimamah,
walau sesuap.

Penat.
Namun ada kepuasan...
yang tidak terucap.

Wednesday, January 07, 2009

MALANG

Semalam, terasa rajin nak pergi kerja,
Keluar awal sikit, semangat baru 2009!!
Tapi bila drive ke opis,
aduhai.....macam kura-kura demam selsema,
Kereta punya la banyak,
Ni mesti kes ramai yang baru mula kerja.
Sampai opis lambat jugak...
(Macam selalu)
Malang sungguh!!

Kat opis memang banyak kerja.
Sampai ke petang tak siap-siap.
Punya la baik hati,
cadang nak sambung kat rumah.
Save drawing ke dalam pendrive.
Balik rumah buka laptop,
sedia kopi O segelas.
Mana pendrive aku?
Masih kat opis rupanya... lupa cabut...
Malang lagi!!!

Apa nak buat?
Siapkan saja kerja part-time.
Tekunnya aku kerja, sampai pukul 3 pagi.
Dah tiga suku jalan,
POOOP!!!
Laptop habis bateri....
Rupanya charger tak berfungsi...
Separuh kerja aku tak sempat save....
Malang lagi...

Masuk tidur lagi best....

Pagi tadi cari handphone.
Rupa-rupanya tertinggal dalam kereta,
kat luar rumah pulak tu...
Mahal jugalah phone aku tu, baru beli.
Mujur la tak ada musang lalu kat situ.
Kalau tak, jadi arwah la phone aku tuh..
Itu kira malang juga,
tapi nasib baik pun ada...

Alhamdulillah.
Langit cerah hari ni.

Tuesday, January 06, 2009

JANUARI DATANG LAGI

Bila Januari muncul setiap tahun, pastinya akan bermula episod baru dalam segala ruang & di setiap sudut kehidupan warga kota. Begitulah lumrahnya. Seperti biasa, pejabat kami yang melalui kelembapan bulan Disember sudahpun mula mengorak langkah kearah alam kesibukkan. Akaun yang ditutup sudahpun dibuka semula. Kaki sudah mula melangkah, tangan sudah mula didepang, kepala sudah mula bergoyang.

Yang pastinya, kerja dah mula bertimbun!!!

Dalam ekonomi negara yang dikatakan semakin lembap ini, aku sudah sedia menghadapi segala kemungkinan.

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez