Thursday, April 23, 2009

DARI KL KE PADANG PAUH

Kata pepatah, sejauh mana seluang melaut, akhirnya pulang ke pantai jua... Tepat sekali dengan diri Deri. Tapi, bukanlah melautnya Deri kerana merantau membawa diri, cuma melanjutkan pelajaran & berkerja. Walaupun di mana Deri berada, namun di hati ini tetap menyimpan segala nostalgia hidup di kampung halaman, di tanah tumpah darah tercinta. Kampung halaman Deri, Kampung Padang Pauh, Perlis, sentiasa di hati. Di sinilah Deri dilahirkan, dibesarkan oleh ayahanda bonda tercinta & di sinilah Deri merentasi zaman kanak-kanak yang penuh dengan keriangan.

Sekali sekala Deri akan pulang ke kampung untuk bertemu dengan ayahanda & bonda. Walaupun tidak sekerap mana, Deri tidak pernah lupa & insyaAllah tidak akan lupa sehingga ke akhir hayat. Sememangnya Deri dibuai dengan ulit lenggok kerja-kerja di pejabat yang berlapis-lapis silih berganti hadirnya, sehinggakan terbawa-bawa sehingga ke rumah, tapi tiba masanya Deri akan mengatur juga jadual untuk pulang ke kampung. Tugas sebagai 'anak' tak mungkin Deri abaikan. Begitu juga dengan janji Deri dengan Allah sebagai seorang 'suami & ayah'. Semuanya perlu diseimbangkan dengan teliti dan penuh kejujuran.

Bila berada di kampung, Deri terasa seperti ada satu suntikan semangat baru meresap ke dalam setiap urat & sendi tubuh ini. Rasanya dos untuk mengekalkan ketenangan fikiran dan kedamaian hati sememangnya ada di sini. Adakalanya Deri terasa seperti tidak mahu pulang berkerja di KL yang hingar bingar & penuh dengan segala kekusutan, kekalutan dan ketidakstabilan emosi.

Tapi, kehidupan ini perlu diharungi walau di mana sahaja Deri berada. Cabaran perlu ditempuhi. Untuk menjadi insan yang berjaya Deri perlu ada ketabahan & kecekalan hati dan perlu juga disaluti dengan keimanan dan kasih kepada Pencipta Yang Maha Agong, dan juga kepada kedua ibu bapa Deri.

Deri lapangkan hati untuk bertafakkur, bermuhasabah diri dan memohon keampunan dari Allah s.w.t kiranya hati kedua insan mulia itu pernah Deri lukai, sama ada sengaja atau tanpa di sedari. Semoga Deri tidak terkial-kial di akhirat kelak untuk mencari arah cahaya menuju ke syurga.....

Kampung halaman Deri dibesarkan
Mempelam "bemban" yang berusia lebih dari 100 tahun ini masih lagi berupaya berbuah lebat setiap musim.
Di sinilah tersimpannya segala kenangan di zaman kanak-kanak

Thursday, April 16, 2009

NASI PELENGAT PERLIS

Pada 27 & 28 Mac lepas Deri balik kampung di utara semenanjung. Tujuan utamanya ada 3 ; nak ziarah emak saudara yang sakit, nak buat kenduri syukur Nazurah dapat good result SPM & nak hadiah kereta proton saga baru yang kami adik beradik kongsi beli kat parents. Alhamdulillah, semua tujuan berjalan lancar...

Masa kenduri, Deri ambil gambar cara-cara orang Perlis masak nasi. Caranya agak berlainan sikit, tak guna kawah.

Kami panggil alat memasak ni PELENGAT. Cara masaknya lebihkurang cara nasi kukus, tapi guna talam, selalunya 10 tingkat. Memasak cara ni tak ada kerak nasi langsung. Jadi, kalau ada yang suka makan kerak nasi dengan santan, maka cara ni tak sesuai buat dia...

Ok, jom kita layan....!!!

(A) Perkakas memasak :
1. Kawah yang dimasukkan air paip atau air perigi (jangan guna air mineral...rugi duit...)
2. Pelengat 10 tingkat berbentuk 3-segi yang dibuat dari aluminium sebagai rak untuk meletakkan talam
3. Talam yang keras sikit, selalunya yang jenis berbunga-bunga dari Cina tu. (Kalau lembut sangat, nanti dia akan cepat terpele'ot... haha... cari sendiri maksudnya...)
4. Penutup pelengat yang diperbuat dari zinc atau metal yang tahan panas.
5. Pelapik kawah dari bahan yang tak terbakar.
6. Kayu api atau apa-apa bahan pembakaran yang tak merbahaya... (warning : jangan guna bunga api... )
7. Pelepah pisang, untuk meratakan beras kat dalam talam. Bahan keras seperti kayu patut dihindarkan. Nanti talam terpelanting... rugi beras...
8. Daun pandan sebagai bahan pewangi
9. Kain basah.... tengok gambar nanti tahu lah fungsinya...

(B) Cara memasak :
1. Ok, untuk memasak nasi sebanyak 10 talam ni, kita perlukan 20 kilo beras. Ini bermakna satu talam diisikan dengan 2 kilo beras.
2. Masukkan air suci lagi bersih sehingga lebih sedikit dari paras beras. (macam masak nasi dalam periuk gitu...)
3. Kalau banyak ni punya nasi, bolehlah disediakan untuk lebihkurang 250 orang yang bernafsu makan secara normal...
4. Sementara tu panaskan kawah yang dah diisi air tadi. Jangan lupa campakkan daun pandan ke dalamnya.
5. Setelah siap 10 talam diatas rak masing-masing dan air pun dah panas, maka tutupkan pelengat tadi.
6. Dalam masa lebihkurang 45 minit, angkat semula tutup pelengat. (Warning: Tutup pelengat sangat la panas... pandai-pandai sendiri lah...)
7. Nasi dah masak... putih berseri-seri...!!
8. Masukkan nasi kedalam bekas kedap udara. Bila tiba masanya, sajikanlah....
9. Untuk ulangmasak lagi 10 talam, cuma perlu tunggu selama 30 minit sahaja sebab tutup pelengat sudah panas... jadi cepatlah masak nasinya.



Dah siap untuk dimasak. Beras sedang diratakan dengan pelepah pisang. Daun pandan diikat & dimasukkan ke dalam kawah.










Ready untuk ditutup. Tengok senang, tapi ia memerlukan kepakaran tahap PHD. Kena kuat fizikal & mental, tahan panas & asap. Silap haribulan, terbalik kesemua sekali. Kalau pekerja amatur, tali akan digunapakai, diikat pada atas penutup pelengat dan digantungkan ke dahan pokok. Lepas tu diturunkan perlahan-lahan. Bila nasi dah masak, ditarik keatas perlahan-lahan juga. Jangan buat dengan gelojoh & rakus!!
Bila penutup dah stable, kain basah diletak sekeliling pelengat dan dipadatkan menggunakan pelepah pisang. Ini dilakukan supaya wap tidak keluar dan air mendidih tidak akan memantulkan kain tadi.
Api perlu dijaga supaya tidak terlalu ganas!!
Bila dah siap, penutup ditarik keluar.
Tengoklah betapa putih berseri-serinya nasi pelengat...
Yang menariknya masak cara begini, nasi yang berlebihan tidak disentuh langsung... masih suci murni...!!
Nasi dimasukkan kedalam bekas kedap udara.
Disajikan pada tetamu dengan lauk pauk & ulam-ulaman... Yummy yummy....
Lepas makan, sila basuh tangan kat sini.... Tengoklah betapa kreatifnya orang kampung ku... Paip akan disambung dan dialirkan kelongkang. Respect....respect...!!
Sekian saja... moga bermanfa'at untuk semua.

Wednesday, April 08, 2009

ORANG-ORANG BUKIT


HARI INI AKU GEMBIRA.
Sempat datang mencuci rumah yang bersawang
dan laman yang dah tumbuh lalang.
***************************************************************


Petang semalam,
tika langit lazuardi sudah sirna.
Minda ini berpusar,
berkunjung jauh
ke Bukit-bukit di utara.
Bertanya dan menduga....
di sebalik helah
dan di celah-celah jeriji upaya dan alpa...
Orang-orang bukit menangkis Sang Bengkarung,
yang tiba-tiba,
entah dari pelusuk mana
merayap membikin semak di bukit!!

Memang.
Petang semalam,
minda ini berharap,
langit lazuardi,
kan muncul kembali..

Pagi ini,
tika fajar sidik menyingsing.
Aku senyum gembira.
Minda ini percaya;
Orang-orang Bukit sedang berpesta.
Bengkarung sudah tiada,
dinyah sepi dan bisu.

Umpama
Sang Sabung sombong
yang merintih bersama
taji tumpul yang sudah tiada!!



Benarlah ungkapan kalimat tua,
Langit berkelikir bumi bertemberang,
salah-salah fikir, jadi hamba orang.


LU FIKIR LA SENDIRI....!!
He he....

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez